Petikan Rencana tulisan wartawan Berita Harian berjudul
"Tak Sarapan, Minda Tumpul"
Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2012/01/10
2012/01/10
Makan pagi berkhasiat asas kekal tenaga, kecergasan kanak-kanak
SENARIO 1 :
“MIMI
tidak suka sarapan pagi. Kalau makan pagi dia mesti sakit perut.
Selalunya lepas bangun tidur, dia akan terus ke sekolah. Lagipun tak
sempat. Kami keluar rumah jam 6.45 pagi. Dia suka sambung tidur dalam
kereta daripada makan,” kata Halimah ketika diaju soalan kenapa tidak
menyediakan sarapan pagi untuk anaknya sebelum melangkah ke sekolah.
Sarapan
pagi tidak saja mustahak, sebaliknya pemilihan sajian juga perlu
diberikan perhatian kerana ia turut mempengaruhi kecerdasan individu.
Kajian menunjukkan pengambilan sarapan pagi dapat membantu seseorang
terutama kanak-kanak memberi tumpuan penuh ketika di sekolah dan
membantu meningkatkan prestasi pembelajaran.
SENARIO 2 :
“MUHAMAD
pula suka makan nasi dan ketulan nugget ayam. Setiap pagi saya akan
sediakan nasi lemak atau nugget. Yang lain dia tidak selera. Lagipun dia
bukan dalam kategori lebih berat badan. Dia kurus saja jadi saya kira
tidak salah bagi makanan itu. Biar dia gemuk sikit,” kata Zaharah
mengenai tabiat makan anaknya yang baru masuk Tahun Satu.
SENARIO
ini mungkin biasa kita dengar. Sama ada tahu atau tidak ambil kisah,
segelintir ibu bapa masih tidak memberi perhatian serius terhadap
kepentingan sarapan pagi untuk memastikan anaknya dapat menumpukan
sepenuh perhatian pengajaran di dalam kelas.
Mimi
mungkin berhadapan dengan kelaparan yang amat sangat, pada jam 9 pagi
lantaran tidak makan apa-apa, sejak masuk tidur jam 10 malam dan bangun
6.30 pagi.
Bagi
Muhammad pula untuk beberapa jam awal persekolahan dia mungkin
bertenaga, tetapi apabila guru mulai mengajar dan murid lain menumpukan
perhatian pada papan hitam, fikirannya mulai mengelamun kerana
mengantuk.
Sarapan
pagi tidak saja mustahak, sebaliknya pemilihan sajian juga perlu
diberikan perhatian kerana ia turut mempengaruhi kecerdasan individu.
Kajian menunjukkan pengambilan sarapan pagi dapat membantu seseorang
terutama kanak-kanak memberi tumpuan penuh ketika di sekolah dan
membantu meningkatkan prestasi pembelajaran.
Tanpa sarapan pagi, kanak-kanak sukar untuk menumpukan sepenuh perhatian, tidak bermaya dan mengantuk di awal pagi persekolahan.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia, Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof,
berkata sarapan pagi amat penting bagi memulakan hari individu dengan
lebih bertenaga selepas lebih lapan jam tidur, terutama otak.
Bagi
kanak-kanak sekolah rendah berusia enam hingga 12 tahun, Dr Barakatun
menjelaskan, makanan yang rendah kandungan lemak, sederhana protein dan
karbohidrat serta tinggi kandungan serta vitamin dan mineral adalah yang
terbaik untuk kanak-kanak sekolah rendah.
“Antara
makanan yang paling mudah adalah bijirin sarapan. Apabila dicampur
dengan susu. Mereka turut mendapat pelbagai khasiat seperti protein dan
kalsium yang amat penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi.
“Selain
itu, roti bakar dan susu, roti dan keju ataupun nasi goreng atau mi
goreng yang digoreng kurang minyak dan ditambah pelbagai jenis
sayur-sayuran boleh dijadikan hidangan sarapan. Kuih-muih yang dibakar
atau dikukus seperti popia basah dan apam kukus juga pilihan yang baik.
Cuba kurangkan makanan diproses kerana ia tinggi lemak dan garam. Paling
penting pelbagaikan hidangan supaya tidak cepat bosan,” katanya
mengulas mengenai kepentingan sarapan pagi untuk anak-anak kecil yang
mungkin belum arif mengenai kebaikannya.
Dari segi saintifik, kanak-kanak perempuan (sekolah rendah) perlukan 1,200-1,600 kalsium/harian (kcal/hari) manakala kanak-kanak lelaki memerlukan 1300-1800 kcal/hari.
Kebiasaannya, mereka perlu makan 4-6 kali sehari. Makan dengan kerap
tetapi pastikan saiz hidangan kecil adalah lebih baik berbanding makan
banyak pada satu-satu masa.
Disebabkan
kanak-kanak lama di sekolah dan perlu tumpu kepada pelajaran, Dr
Barakatun berkata, makanan yang tinggi lemak dan gula jika diambil dalam
jumlah yang berlebihan akan menyebabkan mengantuk.
Katanya,
ibu bapa tidak perlu terlalu risau memikirkan sajian pilihan kerana
rata-rata kanak-kanak dewasa ini memasuki tadika dan pastinya makan di
awal pagi bukan lagi satu yang asing.
“Segelas
susu di campur coklat ataupun koko sebenarnya sudah memadai. Jika ingin
membeli minuman dalam kotak, pastikan ia berasaskan susu kerana minuman
berasaskan susu adalah makanan lengkap memadai untuk keperluan di pagi
hari. Jangan lupa melihat tarikh luput untuk setiap makanan komersil,”
katanya.
Dr
Barakatun tidak menafikan ada kanak-kanak yang enggan makan pagi
seperti peribahasa ‘alah bisa tegal biasa’, namun sebagai ibu bapa kena
bijak menanganinya secara perlahan-lahan.
“Pastikan
pelbagai makanan dapat dihidangkan setiap hari. Mulakan dengan makanan
kesukaan mereka dan kemudian apabila mereka sudah biasa mengambil
sarapan pagi dan merasai nikmatnya kepada tubuh mereka, kenalkan kepada
makanan yang lebih berkhasiat. Ibu bapa bukan saja perlu kreatif, tetapi
pastikan waktu makan semua ada di meja. Kalau si ibu suruh anak makan,
ibu kenalah juga makan, bukannya hanya memerhati dan mengarah “makan
cepat” dari dalam bilik,” katanya.
Tidak
sempat menyediakan sarapan, bukan alasan tidak menyediakannya makanan
untuk anak kerana segelas susu atau sekotak susu sudah memadai untuk
sarapan pagi bagi mereka memulakan hari mereka. Sarapan pagi amat
penting untuk memastikan anak-anak dapat memaksimumkan potensi mereka di
sekolah.
Jaga pemakanan kanak-kanak obes
SARAPAN pagi perlu untuk semua kanak-kanak termasuk mereka yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
Tanggapan
kanak-kanak obesiti biasanya akan makan sesuka hati terutama jika
diberikan belanja sekolah boleh mengundangnya makan banyak atau memilih
makanan tidak sihat seperti bergoreng dan manis, adalah tidak betul sama
sekali.
Dr Barakatun berkata, pendidikan mengenai apa itu makanan sihat amat penting kepada semua anak-anak ini.
Ibu
bapa tidak seharusnya menyekat mereka yang obes untuk mengambil makanan
pada waktu pagi kerana itu boleh menyebabkan kanak-kanak memberontak,
sebaliknya perlu diberi secara berpatutan.
Kerjasama pihak sekolah dan kantin sekolah amat penting dengan tidak sewenang-wenangnya menjual makanan yang tidak berkhasiat.
“Pihak sekolah perlu memastikan makanan dijual adalah berkhasiat, selain menggalakkan aktiviti bersukan sekerap mungkin.
“Kanak-kanak
obes perlu makan seperti kanak-kanak lain. Apa yang penting kualitinya,
selain yang rendah lemak dan tinggi kandungan serat. Galakkan mereka
makan sayur dan buah serta minum susu dua kali sehari. Elakkan makanan
ringan dan yang diproses serta minuman manis dan bergas. Yang paling
penting, pastikan mereka bergerak, bukan duduk saja di tepi padang
melihat kawan lain bermain,” katanya.
Nasihat
Dr Barakatun, membawa bekal juga mungkin idea yang baik untuk
memastikan berat badan terkawal, selain terjamin khasiatnya, kebersihan
dan kesegaran makanan.
“Makanan
yang mudah basi termasuk berlemak tidak sesuai dibuat bekal ke sekolah.
Pada peringkat ini ibu bapa perlu ajar anak-anak mengenal pasti makanan
yang rosak melalui bau, warna dan rasanya kerana ia boleh mengundang
keracunan makanan,” katanya.
INFO:
Sarapan bukan saja memberi tenaga untuk memulakan hari baru, tetapi
banyak faedah untuk kesihatan termasuk kawalan berat badan dan prestasi
yang lebih baik.
- Pemakanan berkhasiat dan lengkap, kaya nutrien, vitamin dan mineral memberikan tenaga kepada tubuh badan.
- Dapat memberi lebih tumpuan serta prestasi di dalam kelas
- Lebih tenaga atau kudrat untuk terbabit dalam aktiviti dalam kelas atau di atas padang
- Membantu merendahkan tahap kolesterol.
Jenis sarapan:
- Roti bakar dan susu, roti dan keju atau nasi goreng atau mi goreng yang digoreng kurang minyak dan ditambah pelbagai jenis sayur-sayuran boleh dijadikan hidangan sarapan.
- Kuih-muih yang dibakar atau dikukus seperti popia basah dan apam kukus juga pilihan yang baik. Kurangkan makanan terproses kerana makanan seperti ini adalah tinggi lemak dan garam. Yang paling penting adalah pelbagaikan supaya mereka tidak cepat bosan.
Makanan yang tinggi lemak dan gula sekiranya diambil dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan rasa mengantuk